BUGIS JUGA BUMIPUTERA SABAH
Oleh : AL-AZHARRI SIDDIQ HAJI KAMUNRI
DI SABAH, masyarakat Bugis masih tidak diiktiraf sebagai Bumiputera, atau lebih tepat Bumiputera Islam Sabah. Jika di Semenanjung Malaysia, sama ada orang Bugis, Jawa, Banjar, Arab dan seumpamanya semuanya dikategori sebagai Melayu. Mereka dikategorikan juga sebagai Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah keturunan Bugis dari Wilayah Goa, Sulawesi Selatan. Apakah bezanya dengan keturunan Bugis dari Wilayah Goa juga yang kini sudah bermastautin beratus tahun di Sabah, tetapi masih tidak diiktiraf sebagai Bumiputera Sabah?
Jika Kerajaan Negeri tidak hendak mengiktiraf masyarakat Bugis Sabah sebagai Bumiputera Sabah, apakah bermakna mereka juga mahu mempersoalkan keturunan Bugis Perdana Menteri kita?
Mari kita buka buku Sejarah. Seorang Sarjana Belanda, telah menulis di dalam Thesisnya mengenai Pentadbiran Awal Beland the di Borneo, menulis, bahawa wilayah-wilayah Tawau hingga ke Semporna pernah diperintah dan ditadbir oleh dua bangsa yang utama iaitu suku Bajau di kawasan Semporna dan suku Bugis di wilayah Tawau.
Katanya, kerajaan Penjajah Belanda terpaksa memohon izin Penggawa Bugis di Tawau sebelum mereka bertapak, berniaga dan berurusan. Peristiwa ini berlaku sebelum British menjajah North Borneo lagi.
Seorang lagi Sarjana Cina dari Singapura, ! dalam Th esis Sarjananya "The North Borneo" menulis bahawa pendatang-pendatang China telah datang ke Pantai Barat Sabah membuka tanah untuk membuat ladang-ladang sayur.
Akhirnya anak cucu mereka menjadi rakyat Sabah yang tidak pernah dikaji oleh SAPP yang asyik mempersoal orang lain?
Semasa UMNO Sabah mula-mula bertapak di Sabah, penulis yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg Pertama Bombalai, Tawau, Sabah telah memasukkan usul dalam Mesyuarat Cawangan dan Bahagian supaya masyarakat Bugis, Banjar, Tidung, Suluk, Bajau dan sebagainya yang beragama Islam, yang bertutur dalam bahasa Melayu dan berbudaya Melayu supaya diiktiraf sebagai Melayu dan digazetkan oleh Kerajaan Sabah sebagai Bumiputera.
Sengaja Disalah Faham
Istilah pendatang asing atau pekerja asing atau warga asing memang wujud di mana-mana negara di dalam dunia. Di Sabah orang Cina yang sudah menjadi Warganegara Malaysia memanglah berbeza dengan orang Cina yang baru sampai dari Taiwan, Hongkong, China ataupun dari Cina Indonesia.
Samalah juga bahawa orang India yang sudah menjadi Warganegara Malaysia sudah tentulah berbeza dengan orang India yang baru sampai dari Chennai, Malbari, Mumbai dan Kalikat.
Begitu juga orang Sulu yang sudah lama menetap di Sabah menjadi warga Sabah memanglah bervbeza dengan orang Filipina yang baru setahun dua sampai di Sabah. Samalah juga orang Jawa, Banjar atau Bugis yang sudah hidup menetap di Sabah (Pantai Timur Sabah) sebelum British dan sebelum Belanda samapai di Sabah, tentulah berbeza dengan orang Jawa, Banjar atau Bugis yang baru sehari dua sampai di Sabah.
Walaupun dari bangsa yang sama, tetapi negara mereka berbeza. Samalah juga dengan orang Melayu Patani dengan orang Melayu Kelantan, sama bangsanya, sama agamanya, sama bahasanya tetapi berlainan kerakyatan.
UMNO Sabah mesti selesaikan masalah ini kerana berlaku penindasan yang tidak sepatutnya berlaku. Kita ambil contoh dalam aspek pekerjaan, terdapat ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan berketurunan Bugis di Sabah tidak dapat berkhidmat di Sabah kerana kekeliruan persepsi yang disengajakan ini.
Dato' Osman Jamal, Pengarah Tanah Negeri Sabah yang juga Presiden Komunuti Bugis Sabah (PKBS), Datuk Dr. Patawari Patawe Mantan Pembantu Menteri Kerajaan Negeri Sabah seorang pakar perubatan terkenal di Asia Tenggara; Samsul Alang Hamsah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan; sebelum itu lagi mantan Pembantu Menteri Belia Sabah zaman Perikatan PBS-USNO YB Tuan Hj Said Senang; mantan YB Kunak Datuk Salim Bacho, atau lebih jauh lagi OKK di Tawau Datuk Zainal Kerahu; Datuk Muis Picho YB Pulau Sebatik dan ramai lagi individu Bugis Sabah yang memberi perkhidmatan kepada negeri Sabah dalam bidang politik, swasta, sosial dan sebagainya.
Mengapa UMNO Sabah yang menjadi tulang belakang Kerajaan BN Sabah tidak mengiktiraf mereka sebagai Bumiputera Sabah! Orang Bugis yang bukan lahir di Sabah, mereka datang dari Indonesia kerana diambil sebagai pekerja memang sahlah bukan warganegeri Sabah, itu sudah jelas samalah kesnya dengan orang Cina yang baru sampai dari negara asalnya.
Apakah Bung Mokhtar boleh disamakan dengan suku kaumnya yang baru sampai dari Indonesia? Sudah tentu berlainan bukan. Bagaimana dengan Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP.
Penulis berharap Kerajaan Negeri Sabah lebih terbuka dan profesional di dalam isu ini. Data dan kajian yang lebih telus mesti dibuat untuk mengkategori hal-hal ini.
Jika Kerajaan Persekutuan mengiktiraf masyarakat Bugis Sabah sebagai entiti Melayu, mengapa Kerajaan Negeri tidak seiringan dengan dasar Kerajaan Persekutuan ini?
Penulis menulis perkara ini kerana penulis juga m! enyokong RCI di Sabah dengan syarat yang sememangnya layak janganlah dipersoalkan, sebaliknya akui dan menerima yang layak itu. Yang sememangnya tidak layak dan bukan warganegeri Sabah, sememangnya tidak layaklah walaupun satu rumpun.
Dengan cara ini sahajalah barulah isu-isu berbangkit boleh diselesaikan dan seterusnya kita membangunkan negeri Sabah dengan lebih hebat.
Anda mungkin ada pendapat yang berbeza. Yang jelas Sejarah tidak akan menipu! Sabah hanya merdeka pada 16 September 1963 sahaja. Bagaimana sejarah Sabah sebelum merdeka, 100 tahun sebelum merdeka.
Bacalah Thesis Lee 'The North Borneo' dari Universiti Singapura, yang menerangkan dengan panjang lebar Demografi, Sosiopolitik dan Sosio ekonomi Sabah sebelum tahun 1800 Masehi.
Beliau menyebut orang Bugis sudah menjadi Penggawa (Ketua Daerah) di Tawau pada tahun 1770-an! Selamat Membaca. Buku itu ada di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan di Arkib Negara Kuala Lumpur.
Mantan Ahli Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Lajim Okin, dalam perjumpaan dengan penulis sangat mengiktiraf Bugis Sabah, malah dalam wawancara beliau dengan akhbar Utusan Malaysia setahun yang lalu, beliau juga menyebut sumbangan orang Bugis Sabah.
Bilakah Kerajaan Negeri Sabah hendak mengiktiraf Bugis Sabah sebagai Bumiputera Sabah sedangkan Murut yang dianggap sebagai Anak negeri Sabah juga dari Kalimantan, Indonesia?
Read More @ Source More
Barisan Nasional (BN) |
Pakatan Rakyat (PR) |
Sociopolitics Plus |
No comments:
Post a Comment