Luahan hati seorang penuntut keturunan India beragama Hindu di Universiti Malaya tentang kesulitan mendapatkan makanan vegetarian di kampus tersebut mungkin tidak merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian berat oleh mereka yang tidak berkenaan.
Namun apabila dia menyatakan kemusykilan tentang bagaimana makanan dari Iran lebih mudah didapati di kampus itu, kita yang prihatin mesti tertanya-tanya apakah yang telah berlaku. Dia mengakhiri dengan bertanya adakah ini sesuatu yang tidak disengajakan ataupun memang merupakan satu arahan baru.
Makanan yang diyakini halal adalah perkara wajib dalam kehidupan seorang penganut agama Islam. Lihat sahajalah bagaimana orang Islam akan bertanya sama ada ayam yang disajikan telah disembelih secara halal.
Mungkin ramai yang tahu penganut agama Islam tidak memakan babi tetapi ada juga yang tidak sedar bahawa makanan yang dibenarkan dalam Islam juga ada syarat-syaratnya. Salah satu syarat yang kadang-kadang terlupa diambilkira ialah sembelihan juga mestilah yang halal.
Penganut agama Islam juga semakin lama semakin prihatin tentang kandungan bahan-bahan yang terdapat di dalam makanan yang telah diproses. Penganut-penganut agama lain tidak terkecuali daripada mempunyai corak pemakanan mereka yang tersendiri yang mesti mematuhi hukum-hakam agama mereka.
Contoh yang mudah ialah makanan vegetarian yang dinyatakan tadi adalah salah satu asas dalam prinsip mereka yang beragama Hindu. Mereka yang benar-benar menghayati ajaran agama masing-masing akan cuba sedaya upaya menjalani hidup seharian dengan pemakanan yang diyakini telah disediakan menurut peraturan yang telah ditetapkan.
Makanan adalah asas hidup kita dan ramai yang yakin bahawa pemakanan yang t! elah diy akini bersih dan menurut peraturan agama masing-masing boleh membantu perjalanan hidup seterusnya. Kita yakin berjaya mencapai matlamat menjadi penganut agama yang lebih baik dengan bantuan makanan yang telah disediakan menurut syarat-syarat agama. Apa yang dimakan mencerminkan tingkah laku masing-masing dan yang baik membuahkan hasil yang baik pula.
UM boleh begitu alpa?
Berbalik kepada kemusykilan kenapa tidak ada lagi makanan vegetarian yang terdapat di kampus universiti tadi. Kalaulah kesukaran mendapatkan makanan tersebut berpunca daripada kelalaian pihak pentadbiran kampus yang tidak mengambilkira pemakanan penuntut bergama Hindu, kita mungkin boleh memaafkannya.
Tetapi bukankah Universiti Malaya telah ditubuhkan sejak 1962 dan itu adalah satu tempoh yang lama untuk mengetahui apakah bangsa dan agama penuntut-penuntutnya serta keperluan khusus masing-masing termasuk pemakanan. Kita yakin pentadbiran universiti telah mempunyai sistem selia yang diamalkan sejak penubuhannya dan boleh digunapakai sehingga sekarang. Persoalan akan bertambah jika tiba-tiba kaedah penyelenggaraan selama ini bertukar dan mendatangkan masalah kepada warga kampus.
Kalau sistem sedia ada dikatakan ditukar supaya pengurusan di kampus bertambah baik, kealpaan tentang pemakanan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Keprihatinan pentadbiran terhadap keperluan setiap warga kampus mesti sentiasa dikawalselia bukan sahaja yang meliputi pemakanan tetapi juga mobiliti yang mudah dan selamat untuk mereka yang kurang upaya.
Setiap golongan minoriti memerlukan bantuan yang mungkin kelihatan amat remeh tetapi sesuatu yang wajib disediakan untuk mereka supaya perjalanan hidup lebih selesa dan terjamin.
Universiti itu adalah pusat pendidikan untuk semua yang ingin menimba ilmu tidak kira bangsa dan agama. Semua yang layak dan telah terpilih ke situ mahu memperbaiki diri masing-masing melalui pengetahuan dan pergaulan sesama sendiri. Mereka mahu menumpukan perhatian menjad! i warga kampus yang berjaya menerap segala ilmu yang dicurahkan dan tentulah tidak mahu dibebankan dengan persoalan asas seperti pemakanan.
Ketiadaan makanan vegetarian telah mengurangkan pilihan yang ada di kampus dan mereka yang memerlukannya perlu berbelanja lebih untuk mendapatkannya. Bukan semua yang mampu berbuat demikian tambahan pula kos hidup seharian semakin meningkat.
Ketiadaan makanan vegetarian juga merupakan satu kehilangan bagi penuntut-penuntut lain juga. Mereka tidak akan mengerti dan faham tentang keperluan seorang rakan yang berbeza agama. Mereka juga tidak berpeluang menikmati pilihan makanan yang lebih pelbagai di kampus. Bukankah ini satu kekurangan dalam mengenal adat resam serta budaya bangsa dan agama lain?
Mungkin ada yang menasihatkan mereka yang memerlukan makanan vegetarian supaya tidak berpegang terlampau kuat terhadap kehendak agama mereka. Bertolak ansurlah dan anggap keadaan itu satu darurat. Apa perasaan golongan agama lain jika dinasihatkan demikian.
Apa yang lebih memusykilkan dalam senario ini ialah kewujudan pemilihan makanan dari Iran yang lebih mudah didapati di kampus berbanding ketiadaan makanan vegetarian. Setahu kita, warga negara Iran bukanlah warga negara Malaysia ataupun tanpa disedari mereka memang telah menjadi rakyat negara ini sejak Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 atau ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963.
Mungkin mereka telah dikategorikan dalam golongan 'yang lain-lain'. Apa yang nyata ialah bangsa India beragama Hindu telahpun wujud dalam setiap statistik tentang Malaysia. Malahan pengaruh dari benua India selain dari negara China telah terbukti wujud di negara ini sejak zaman berzaman lagi.
Terlepas pandang penganut agama Hindu
Begitulah kita rakyat Malaysia memang terkenal berbudi bahasa dan mengalu-alukan kehadiran orang dari luar. Walhal penduduk tempatan juga memerlukan perhatian dan dalam kes ini, sesuatu yang paling asas iaitu pemakanan.
Apa yang lebih pelik ialah keut! amaan ya ng diberikan kepada keperluan warga kampus dari Iran kerana setakat ini majlis agama Islam Malaysia memang tidak mengiktiraf fahaman syiah yang diamalkan oleh penganut agama Islam dari Iran.
Bukankah kehadiran makanan dari Iran memberi peluang secara tidak langsung fahaman syiah akan berkembang-biak di kalangan penganut agama Islam Malaysia.
Kehadiran makanan vegetarian versi penganut agama Hindu berkemungkinan besar tidak akan mempengaruhi penganut agama lain beralih arah. Kalau ada yang tersasar kerana makanan vegetarian, pasti itu kerana kehendaknya sendiri dan makanan itu tidak harus dipersalahkan.
Mereka yang waras dan mampu berfikir boleh menerima kehadiran makanan lain selain daripada yang telah sedia ada kerana tidak ada sesiapa yang akan memaksa kita menjamah sesuatu yang tidak disukai.
Kehadiran makanan yang diperlukan oleh penganut agama lain bermanfaat besar kepada mereka dan yang lain boleh mencubanya jika berkeinginan. Memang ketiadaan makanan vegetarian dengan harga yang berpatutan di kampus terasa seperti satu beban yang berat bagi penganut agama Hindu. Bolehkah keadaan ini diperbetulkan?
Kenapa kita menyusukan kera di hutan tetapi membiarkan anak sendiri mati kelaparan?
More Barisan Nasional (BN) | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus |
No comments:
Post a Comment