Saya mohon maaf

16 OKT Apakah kesilapan yang pale mengaibkan sepanjang hidup anda? Pernahkah anda memohon maaf secara terbuka di atas kesalahan yang dilakukan? Sejauhmanakah permohonan maaf yang dilafazkan benar-benar terbit dari lubuk hati anda? Ataupun ia dilakukan secara terpaksa?

Itu adalah antara persoalan-persoalan berbangkit yang pada zahirnya cukup terus-terang namun tidak mudah untuk dijawab. Ia tidak mudah untuk dijawab kerana ia menyentuh soal maruah dan ego seseorang. Tambahan pula, ia juga menguji kejujuran dan keikhlasan hati nuraninya.

Bagi mereka yang sentiasa bersedia memperbaiki kelemahan diri, persoalan sedemikian bukanlah satu isu besar. Malah, ia merupakan sebahagian daripada proses mematangkan fikiran mereka terhadap sesuatu isu. Mereka tidak gentar untuk dikritik kerana percaya bahawa melalui kritikan membina, mereka dapat mempelajari sesuatu berharga.

Dalam kehidupan seharian, kita diajar untuk sentiasa merendah diri. Merendah diri dalam setiap aspek kehidupan baik dalam pergaulan dengan orang lain, hubungan ibubapa dan anak serta suami dan isteri. Merendah diri merupakan perbuatan terpuji yang digalakkan dalam semua agama.

Malangnya, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar bersikap sedemikian? Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik kita? Mungkinkah mereka mampu memberikan teladan baik kepada rakyat?

Hakikatnya, budaya memohon maaf masih belum mencapai piawaian yang dimahukan terutamanya dalam kalangan pemimpin politik. Lihat sahaja dalam perwatakan pemimpin-pemimpin politik dalam media yang nampaknya begitu ghairah untuk cabar-mencabar antara satu sama lain.

Lebih buruk lagi, ada antara kalangan mereka yang suka mendedahkan keburukan musuh politik di khalayak seolah-olah dia sendiri sahaja yang bersih. Dengan perwatakan negatif yang cuba ditonjolkan oleh pemimpin politik kita, kita tidak boleh menyalahkan rakyat marhaen jika mereka sendiri enggan berbuat demikian. Yang harus dipersalahkan adalah diri pemimpin politik itu sendiri.

P emimpin-pemimpin politik mungkin sukar untuk mengeluarkan kata-kata keramat itu kerana mereka malu ataupun egonya yang terlalu tinggi. Mereka percaya adalah lebih baik untuk membisu sekalipun menyedari bahawa tindakan itu berkemungkinan mengakibatkan popularitinya terjejas.

Bagi mereka, memohon maaf umpama mengakui kelemahan diri sendiri. Dari sudut psikologinya, mengakui kelemahan diri sendiri ibarat mengaku dirinya sudah bersalah.

Dari sudut percaturan politik pula, pengakuan kelemahan itu hanya mengukuhkan bahawa kepimpinannya sudah gagal dan tidak berkesan. Lantaran itu, pengakuan tersebutsudah pastimengundang musuh-musuh politik untuk menyerang kredibilitinya. Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka memilih untuk bersikap dingin, bertegas dan tidak berganjak dari pendirian asal. Namun, berbaloikah?

Pernahkah jugaanda melihat kalangan pemimpin-pemimpin politik kita memohon maaf di atas kesilapan atau kelemahan yang dilakukannya? Malangnya, tidak banyak.

Sehubungan itu, pemimpin-pemimpin politik negara kita seharusnya mencontohi sikap pemimpin politik di negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan yang mempamerkan sikap kebertanggungjawab yang cukup tinggi dalam profesionalismenya.

Apa yang cukup mengkagumkan penulis ialah mereka yang tampil memohon maaf di atas keterlanjurannya bukan sahaja terdiri daripada tokoh-tokoh korporat, orang-perseorangan bahkan juga pemimpin-pemimpin politik. Yang menjadikan tindakan mereka lebih signifikan adalah pengakuan tersebut dilakukan di khalayak ramai. Sesungguhnya, tidak ramai yang berani berbuat begitu. Hanya mereka yang memiliki daya ketahanan dan kecekalan sahaja yang mampu menahan keaiban berkenaan.

Dalam menilai tindak-tanduk pemimpin-pemimpin politik tadi, dapatlah disimpulkan bahawa wujud perasaan bersalah dan kebertanggungjawaban dalam diri mereka. Budaya dalam masyarakat mereka yang tidak berkompromi dengan kesilapan menjadikan ia sebati dalam kehidupannya. Sekadar memadai untuk mengatakan ia dicemburui ole! h orang lain.

Pada ketika persepsi masyarakat umum terhadap pemimpin-pemimpin politik berada pada paras yang tidak begitu memberangsangkan, inilah pentas terbaik untuk memperbetulkan tanggapan negatif itu selain meyakinkan rakyat bahawa masih ada pemimpin politik yang beretika dan merendah diri.

Mengakui kesilapan diri tidak semestinya bermakna seseorang pemimpin politik itu lemah. Sebaliknya, ia ibarat simbol kekuatan yang mana seseorang itu bersedia untuk memperbaiki segala kelemahan sedia ada dan melangkah ke fasa baru kehidupan.

Keterbukaan menerima kritikan membina dan perubahan positif bukan sahaja mencetuskan imej positif di mata rakyat bahkan juga memberi sinar harapan kepada rakyat bahawa wakil rakyat mereka masih boleh diharapkan.

Rakyat tidak akan kisah jika pemimpin mereka mengakui kelemahan diri memandangkan ia adalah sebahagian daripada ragam kehidupan. Malah, rakyat sebenarnya lebih suka seorang wakil rakyat yang jujur dan berterus-terang. Perwatakan jujur dan berterus-terang inilah yang dapat mendekatkan diri pengundi dengan pemimpin politik.

Yang nyata, masih ada ruang penambahbaikan yang perlu dilipatgandakan oleh pemimpin-pemimpin politik negara jika mereka ingin meletakkan dirinya setaraf dengan pemimpin-pemimpin politik negara maju dari pelbagai aspek. Segala-galanya harus bermula daripada diri seseorang pemimpin itu. Langkah pertama itu mungkin sukar tetapi mampu memberi kesan positif sekiranya diurus dengan baik.

Tatkala pemimpin-pemimpin politik negara maju tidak kekok untuk memohon maaf di atas kelemahan diri mereka, mengapa tidak pemimpin politik negara kita?

* Segala pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Read More @ Source

Courtesy of Bonology.com P! olitical ly Incorrect Buzz & Buzz

No comments: