Warga asing talian hayat BN Mohd Rashidi Hassan

26 SEPT Sungguh jelek dan memalukan apabila sebuah parti yang mendakwa dirinya parti terbesar yang didokong rakyat, menguasai kerajaan lebih 50 tahun, terpaksa mendapatkan khidmat warga asing untuk membantu mereka mengekalkan kuasa.

Umno-Barisan Nasional tidak boleh menafikan fakta, bahawa di bawah pemerintahan mereka, mereka terlalu mudah untuk memberikan kerakyatan kepada warga asing.

Dasar kerajaan Umno-BN terlalu longgar. Mereka sanggup menggadaikan standing warganegara yang begitu berharga itu hanya semata-mata untuk mengekalkan kuasa dengan penuh rakus dan tamak haloba.

Umno-BN menerusi agensi dan jabatan kerajaan yang bersubahat, mula memberikan kad pengenalan (IC) palsu kepada warga Indonesia dan Filipina, khususnya yang berada di Sabah mulai tahun 1980-an untuk menguasai negeri tersebut.

Kerakusan mereka ini merebak dan semakin berleluasa, tetapi terbongkar apabila rakyat yang semakin sedar, mula mendedahkan satu-persatu, bahawa wujudnya pemalsuan dan pemberikan MyKad kepada warga asing, khususnya di kalangan warga Indonesia dan kini, warga Bangladesh pula.

Untuk apa dasar sebegini longgar diamalkan? Untuk tujuan apa MyKad atau IC diberikan sewenang-wenangnya kepada orang asing semata-mata atas alasan mereka cukup syarat untuk diberikan kerakyatan kerana tempoh mendiami negara mencukupi?

Apakah kerajaan Umno-BN boleh menafikan bahawa jika alasan tempoh mendiami negara dijadikan asas, berapa puluh ribu warga asing yang sudah mendiami Malaysia sejak puluhan tahun masih mempunyai IC Merah atau sekadar Permastautin Tetap (PR) sahaja?

Mengapakah hanya sekarang ini harus Umno-BN segerakan pemberian MyKad dan mengiktiraf mereka sebagai warganegara? Mengapa sudah hampir saat Pilihan Raya Umum diadakan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya begitu tangkas memproses senarai warganegara baru dan dijadikan pengundi dalam tempoh yang singkat?

Apakah sistem pentadbiran kerajaan sudah semakin canggih sehingga ramai kalangan kak! itangan awam begitu cekap memproses MyKad baru atau pun mereka diarahkan oleh pemimpin Umno-BN untuk berbuat demikian?

Inilah persoalan yang dibangkitkan rakyat. Rakyat tidak bersetuju dan amat marah dengan tindakan kerajaan Umno-BN yang secara sewenang-wenangnya memberikan MyKad kepada warga asing.

Malah rakyat juga berang dan mengesyaki terdapat kalangan kakitangan awam yang bersubahat dengan pemimpin Umno-BN untuk menyempurnakan pendaftaran mereka dengan kadar yang segera.

Apakah standing warganegara begitu murah buat mereka? Apakah mereka tidak sedar bahawa dengan memberikan kerakyatan kepada warga asing yang tidak layak, akan mengancam masa depan negara?

Kita turut mempersoalkan keikhlasan pemimpin Umno, kerana apabila kuasa mereka semakin terhakis akibat tidak disokong kaum Cina dan India, mereka sanggup melabelkan warganegara Malaysia sebagai kaum pendatang atau orang asing.

Manakala, warga asing yang sebenar, pendatang asing yang sebenar, terdiri dari kalangan rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan sebagainya, 'ditimang-timang ' serta diberikan hak yang cukup istimewa sebagai warganegara Malaysia.

Inilah pengkhianatan Umno-BN terhadap rakyat dan negara yang harus kita hentikan. Kita tidak mempunyai cara lain untuk menyelamatkan negara, selain daripada menghapuskan Umno-BN daripada berkuasa.

Justeru kita mendesak dan merayu Majlis Raja-Raja Melayu supaya bingkas menangani persoalan ini. Kerakyatan adalah kedaulatan.

Kedaulatan adalah hak istimewa Raja-Raja Melayu. Apakah Raja-Raja Melayu boleh menerima 'rakyat' Malaysia yang menyebut 'Daulat Tuanku' dalam telo Indonesia dan Bangladesh? harakahdaily.net

* This is a personal opinion of a writer or publication. The Malaysian Insider does not validate a view unless specified.

The Malaysian Insider :: Side Views

Courtesy of Bonology.com Politically Incorrect Buzz & Buzz

No comments: