23 OKT Umno-Barisan Nasional harus diberi peringatan, bahawa mereka bukanlah tuan kepada negara Malaysia, yang sesukahati boleh menguasai dan mencorakkan semua keadaan demi survival politik Malaysia.
Kuasa yang dinikmati sebagai kerajaan selama lebih 50 tahun, menjadikan Umno-BN alpa. Dengan rakusnya mereka 'mencabul kehormatan' insitusi Parlimen, kehakiman, polis dan sebagainya, sehingga majoriti rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap semua institusi ini.
Kerakusan mereka tidak terhenti di situ. Selepas semua agensi dan badan berkaitan kerajaan dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik Umno-BN, kini institusi Raja hendak dicorakkan di atas kehendak Umno.
Buktinya jelas. Ada dua perbezaan yang amat ketara di antara perilaku hodoh pemimpin Umno Terengganu yang membuat demonstrasi di hadapan Istana Terengganu, yang dengan jelas menggelarkan Sultan dengan istilah 'binatang', berbanding dengan satu kenyataan umum Profesor Dr Aziz Bari terhadap Sultan Selangor.
Aziz Bari tidak menghina Sultan Selangor. Beliau tidak menggelarnya binatang seperti yang dibuat Umno Terengganu. Sebagai pakar perlembagaan dan perundangan Islam, Aziz Bari hanya mencadangkan supaya Sultan Selangor mengambil tindakan selaras dengan kuasanya sebagai Ketua Agama Islam negeri, iaitu mengikuti tatacara Islam dalam menangani kes DUMC. Itu sahaja.
Adakah kenyataan Aziz Bari itu suatu penghinaan terhadap Sultan? Mengapa beliau harus disiasat polis? Mengapa SKMM menyoal siasat beliau? Dan mengapa UIA bertindak keras sehingga menggantung Aziz Bari? Apa kesalahannya?
Mengapa Umno-BN terlalu jahat untuk mengenakan tindakan tegas terhadap Aziz Bari, sedangkan kenyataannya itu hanyalah bersifat umum dan langsung tidak menjejaskan kemuliaan Sultan Selangor.
Apa yang disuarakan Aziz Bari, jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno Terengganu. Kenapa Umno Terengganu, khususnya juak-juak Dato' Seri Idris Jusoh boleh diampunkan? Umno Terengganu dan seluruh kepimpinan Umno yang! merestu i tindakan 'membinatangkan' Sultan, adalah penderhaka yang amat jijik dan jahat.
Kita berasa amat kesal kerana ada segelintir golongan istana, yang seolah-olah memejamkan mata dengan kejahatan Umno menghina Raja, dan bersikap keras terhadap mana-mana pihak yang cintakan keadilan, hanya kerana mereka pro-Pakatan Rakyat.
Semua institusi yang dipergunakan Umno-BN harus sedar. Kedurjanaan mereka dengan mencipta malapetaka suatu persatu hanya kerana hendak mengikut bulletin Umno, untuk menyelamatkan masa depan Umno, akan dihentikan rakyat.
Kuasa rakyat yang bangkit hari ini (21 Oktober) di UIA, hanyalah permulaan daripada kebangkitan yang lebih besar. Soalnya bukan hanya Aziz Bari semata-mata, bukan hanya pencabulan kebebasan akademik yang dipertahankan, tetapi ke arah sesuatu yang lebih besar daripada itu.
Kiat harus memperjuangkan kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa bersuara dan seterusnya kita berjuangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ciptaan Umno yang mengongkong golongan mahasiswa sebelum ini.
Mahasiswa adalah peneraju kepada perubahan dalam negara. Ayuh bangkit bersama Pakatan Rakyat! Kita perbetulkan sistem akademik dengan mengembalikan martabat universiti dalam negara, kita rebahkan Umno-BN, agar semua institusi dan agensi kerajaan dibebaskan daripada belengu kerakusan orang politik.
Mahasiswa bangkit, negara merdeka! Harakah Daily
* This is a personal perspective of a bard or publication. The Malaysian Insider does not validate a perspective unless specified.
No comments:
Post a Comment