1 NOV Masih belum terlambat rasanya untuk mencoretkan artikel ini, walaupun telah dua minggu peristiwa ini berlalu, kesan dan luka masih lagi kuat dihati.
Oktober 13, 2011 adalah tarikh yang menyedihkan bagi saya. Kehilangan seorang sahabat yang telah rapat seperti ahli keluarga kita sendiri bukanlah satu perkara yang mudah untuk dihadapi.
Pada tarikh tersebut, sewaktu sedang bersarapan pagi, saya menerima panggilan yang mengejutkan dari seorang teman. Kebiasaannya, teman tersebut jarang menelefon di awal pagi, tergerak juga dihati memikirkan bahawa pasti ada berita yang penting.
Jangkaan tepat, panggilan tersebut memberitahu bahawa sahabat baik kami, Kharis Idris yang terkenal dengan nama Tuan Senang Besar (TSB) di dunia Facebook dan Twitter baru sahaja meninggal dunia.
Kharis diberitakan terjatuh ketika sedang berjogging dan disyaki terkena serangan jantung.
Foto ihsan Jason Hue, Snap Attack.
Tak sangka pula bahawa itu adalah sarapan pagi terakhir bersamanya.
Tanpa membuang masa saya terus ke tempat yang dikatakan Kharis terjatuh ketika sedang berjogging iaitu di stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya.
Sedang dalam perjalanan memandu ke lokasi tersebut, saya menerima sebuah lagi panggilan yang mengatakan bahawa mayat arwah telah di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Saya terus bergegas kesana untuk melihat sendiri jasad arwah sebelum dikebumikan. Sayu dan hiba apabila melihat tubuh arwah terbujur layu.
Alhamdulillah, sebagai seorang sahabat, saya mempunyai kesempatan untuk bersama keluarga dan kawan-kawan arwah dalam upacara pengebumian beliau di Tanah Perkuburan Sungai Sikamat, Kajang! .
Mahasiswa dan gerakan reformasi
Saya mengenali arwah lebih kurang pada tahun 1998-1999 yang lalu sewaktu politik negara sedang bergolak dan gerakan reformasi masih lagi panas dengan demonstrasi mingguan di ibukota Kuala Lumpur.
Pada ketika itu sebahagian besar mahasiswa turut bangkit menyokong gerakan reformasi. Hishamuddin Rais yang dianggap sebagai ikon kebangkitan mahasiswa di era 1970an menjadi penyatu kepada mahasiswa dari berberapa IPTA dan IPTS yang dahagakan ilmu dan rujukan tentang gerakan mahasiswa.
Bangsar Utama (berhampiran dengan pejabat Hishamuddin Rais pada ketika itu) menjadi tempat kami berkumpul. Di situ jugalah tempat kami berdiskusi mengenai gerakan reformasi dan isu-isu semasa.
Akhirnya tertubuhlah Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN) selepas pilihanraya umum 1999, tertubuhnya sebuah lagi organisasi yang dinamakan Universiti Bangsar Utama (UBU). Kedua-dua organisasi telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2001.
Disinilah buat pertama kalinya saya berkenalan dengan arwah. Sejak awal lagi arwah memang mahir dalam teknologi maklumat.
Pada ketika saya dan kawan-kawan masih lagi terkial-kial belajar untuk menggunakan internet, arwah Kharis sudahpun mahir untuk membuat laman sesawang.
Beliau dan berberapa teman lain bertanggungjawab membuat laman sesawang bagi GMLN dan UBU.
Tuan Senang Besar
Tentu ramai yang belum tahu bagaimanakah arwah Kharis mendapatkan nama Tuan Senang Besar seperti yang ramai rakan-rakan Facebook dan Twitter mengenalinya.
Pada tahun 1999, kami diundang untuk mengadakan persembahan teater di Johor Bharu dalam sebuah program di Johor Bharu.
Teater ini diarahkan oleh Hishamuddin Rais diawal sebelum dikembangkan menjadi teater Tok Ampoo yang menggelilingi negara pada sekitar 1999-2000.
Secara ringkasnya, teater ini berkisah mengenai seorang ketua kampung yang mengamalkan pemerintahan diktator. Ketua kampung yang dikenali dengan nama Tuan Se! nang Bes ar ini mahu semua orang kampung menurut apa saja arahannya tanpa soal.
Barang siapa yang cuba mempersoalkan tindakannya akan dikenakan tindakan yang keras dan ditangkap oleh pasukan keselamatan yang berdiri teguh dibelakang Tuan Senang Besar.
Kharislah yang memegang watak Tuan Senang Besar pada ketika itu. Memori indahnya melakonkan watak tersebut disimpan dan nama Tuan Senang Besar itu digunakan beliau untuk akaun Facebook dan Twitter sehinggalah akhir hayatnya.
Selepas zaman mahasiswa, persahabatan bersama arwah berterusan. Kami sering makan tengah hari bersama jika terdapat kelapangan. Untuk pengetahuan semua, arwah mempunyai pengetahuan yang baik mengenai restoran-restoran atau gerai-gerai yang menyediakan makanan yang enak dan lazat.
Terlalu banyak kenangan pahit manis bersama arwah yang tidak mungkin akan dapat dicoretkan disini. Al-Fatihah buat arwah Kharis Idris a.k.a Tuan Senang Besar, semoga rohmu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Buat isteri arwah, Yanthy Haslynda dan anaknya Yasmin, semoga kamu berdua dapat menguatkan diri untuk mengharungi kehidupan selepas ketiadaan suami dan ayah tercinta.
* The views expressed here have been a personal perspective of a columnist.
No comments:
Post a Comment